Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mempunyai peranan penting dan dipandang tinggi oleh Amerika Syarikat  (AS) sebagai rakan dagang dan politik di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata, di sebalik saiz negara ini yang jauh lebih kecil berbanding AS, negara kuasa besar yang kini merupakan pelabur kedua terbesar Malaysia.

Dalam catatan di blognya mengenai lawatan kerja beliau ke AS dari 11 hingga 13 Sept, Najib berkata: “Melalui lawatan ini, saya akan menekankan inisiatif rundingan bilateral kedua-dua negara dan menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik lagi.”

Selain itu, perdana menteri berkata, beliau juga akan berbincang dengan Presiden Donald Trump mengenai isu anti keganasan di negara serantau dan isu kemanusiaan yang melanda etnik Rohingya di Myanmar.

“Insya-ALLAH, lawatan ini akan berjaya mencapai matlamat dan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya di blog www.najibrazak.com berhubung lawatan yang berlangsung atas jemputan Presiden Trump.

Dalam catatan itu, Najib merujuk keakraban  Kuala Lumpur-Washington seperti yang dilihat melalui kunjungan dua presidennya ke Malaysia sebelum ini.

Presiden Lyndon B Johnson mengunjungi Malaysia pada 1966 manakala Presiden Barack Obama berbuat demikian pada 2014 dan 2015.

Selain itu, kata Najib, Malaysia kini juga menerima kelebihan visa selama 10 tahun bagi kemasukan tanpa had, dan usaha kini di peringkat akhir bagi Program Pengecualian Visa untuk rakyat Malaysia ke AS.

Beliau menyifatkan lawatannya ke AS itu tepat pada masanya kerana kedua-dua pihak baru sahaja menyambut ulang tahun ke-60 hubungan dua hala pada Julai lalu.

“Sepanjang enam dekad yang berlalu itu juga, hubungan kedua-dua negara telah berkembang dan semakin erat dari masa ke masa,” kata perdana menteri.

Pada tahun 2014, hubungan Malaysia dan AS dinaik taraf ke status ‘Comprehensive Partnership’ membabitkan bidang kerjasama utama seperti ekonomi dan perdagangan, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serta sains dan teknologi.

Najib menarik perhatian walaupun secara rasmi hubungan diplomatik bermula 1957, tetapi sebenarnya ia terjalin jauh lebih awal daripada itu.

Katanya, getah  penting dalam industri automotif AS, dan permintaan tinggi memacu pengeluaran bahan itu di Malaysia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *