Malaysia disenaraikan sebagai destinasi paling terbaik untuk pelaburan asing (FDI) bagi tahun 2017 selepas meraih sekurang-kurangnya 30 mata berbanding negara lain dalam skala 100 mata.

Ranking terbaharu itu dikeluarkan oleh firma strategi jenama global, BAV Consulting dan Wharton School of the University of Pennsylvania, berdasarkan kiraan mata daripada lebih pembuat dasar 6,000 perniagaan melibatkan lapan ciri penting iaitu menangani rasuah, dinamik, kestabilan ekonomi, keusahawanan, persekitara cukai yang mesra , innovatif, pekerja berkemahiran dan pakar teknologi.

Seramai 21,000 peserta kaji selidik dari 80 negara seluruh dunia terlibat dalam kajian tersebut yang menyaksikan rantau Asia Tenggara menguasai ranking berkenaan apabila tiga lagi negara iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia juga menduduki senarai 10 negara terbaik untuk dilabur tahun ini selain Malaysia.

“Malaysia adalah peneraju yang jelas di dalam ranking ini, apabila merekodkan sekurang-kurangnya 30 mata lebih tinggi berbanding negara lain berdasarkan skala 100 mata.

 “Negara ini adalah salah satu penerima FDI yang terbesar dan kerajaannya yang pro-perniagaan menawarkan pelbagai jenis insentif kepada pelabur, ” kata kaji selidik berkenaan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan U.S. News & World Report.

U.S. News & World Report dikenali dengan penerbitan ranking global seperti pendidikan, kesihatan, kewangan, kerjaya, perjalanan dan automotif.

Kaji selidik itu mendapati, negara lain di dalam kedudukan teratas senarai berkenaan seperti Singapura yang menduduki tempat kedua dan India di tempat keenam, kebiasaannya mempunyai penduduk lebih muda serta berpendidikan.

“Majoriti rakyatnya boleh menghasilkan kerja berkemahiran yang diperlukan oleh pasaran tenaga kerja pada kadar gaji kompetitif serta meneruskan kitarannya dengan menyumbang kepada pasaran pengguna negara terbabit,” jelas kaji selidik itu.

Menurut kaji selidik itu, pelabur akan tertarik kepada apa yang ditawarkan oleh negara terbabit tetapi tidak dimiliki oleh syarikat berkenaan.

Katanya, perkara yang menjadikan sesebuah negara itu unik iaitu rakyatnya, persekitaran, hubungan, rangka kerja dan pendidikan, mewujudkan pula empat faktor yang dikenal pasti oleh laporan Bank Dunia bagi menggalakkan seseorang individu atau sesebuah syarikat melabur di sana.

“Faktor berkenaan ialah sumber asli, pasaran, kecekapan dan aset strategik seperti teknologi atau jenama,” katanya.

Setiap tahun, kira-kira AS$1 trilion (RM4 trilion) dana dilaburkan dalam bentuk FDI di seluruh dunia.

Bahagian yang diterima oleh sesebuah negara dianggap mencerminkan nilai serta potensinya ke seluruh dunia.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *