Impian Malaysia untuk menjadi negara maju, bukan lagi angan-angan atau bualan kosong semata-mata berikutan negara ini bakal tersenarai sebagai sebuah kuasa ekonomi ke-24 terbesar dunia pada 2050, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang menentukan ekonomi sesebuah negara, dan pencapaian Malaysia itu termasuklah tahap keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta keyakinan pelabur asing ke atas keteguhan ekonomi.

“Laporan daripada syarikat perkhidmatan profesional antarabangsa, PwC menyebut Malaysia akan tersenarai sebagai kuasa ekonomi ke-24 terbesar di dunia pada 2050. Inilah hasil kajian berdasarkan peningkatan KDNK dan keyakinan pelabur asing ke atas ekonomi negara,” kata Najib dalam blognya, Najibrazak.com, hari ini.

Najib berkata KDNK Malaysia pada suku pertama melangkaui jangkaan pakar ekonomi iaitu 5.6 peratus dan sekali lagi meningkat pada suku kedua ke paras 5.8 peratus.

Paras KDNK ini lebih tinggi daripada suku pertama tahun lepas sebanyak 4 peratus.

Perdana menteri berkata pencapaian ini secara langsung menguntungkan rakyat kerana hasil ekonomi yang semakin kukuh membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat seperti membina lebih banyak hospital dan klinik selain memberi bantuan kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Hakikatnya peningkatan ekonomi sesebuah negara tidak berlaku dalam sehari atau dalam tempoh yang singkat. Ia mengambil masa yang panjang dan perancangan yang teliti namun, boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

“Oleh itu, janganlah kita melibatkan diri dengan unsur atau pihak yang cuba meruntuhkan apa yang kita telah bina selama ini kerana inilah tanah air kita,” kata Najib.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *