Penyakit demam malaria di negara ini dijangka dapat dikawal sepenuhnya dalam masa terdekat jika ada kerjasama daripada masyarakat melalui aktiviti kawalan serta pencegahan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata keupayaan untuk mengawal penularan penyakit berkenaan sangat tinggi kerana boleh dirawat dengan ubat antimalaria berbanding tiada ubat khusus bagi penyakit denggi.

“Kami yakin boleh mengawalnya, namun ini memerlukan kerjasama daripada penduduk di sesuatu kawasan kerana kaedah penyebaran malaria sama seperti denggi, chikugunya dan zika, iaitu melalui nyamuk.

“Paling penting penduduk perlu mengikut nasihat pegawai kesihatan termasuk menggunakan kelambu ketika tidur, datang ke klinik kesihatan berhampiran untuk melakukan pemeriksaan dan menerima rawatan yang cukup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Rumah Terbuka Deepavali 2016 peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini Rabu malam.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Pada 30 Nov lepas dilaporkan 93 kes jangkitan malaria dikesan dengan 57 pesakit dirawat di Hospital Gerik, Perak termasuk 37 kanak-kanak berumur bawah 12 tahun serta 12 pesakit lagi dirawat di Hopital Kuala Kangsar, Perak.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata kebakaran kecil yang berlaku di Hospital Serdang, Selangor pada 9.16 pagi semalam dipercayai berpunca daripada kerosakan kapasitor lampu fluorescent di aras satu hospital tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat bersama pihak hospital terbabit dan meminta agar bahagian kejuruteraan hospital melakukan pemeriksaan terhadap kesemua lampu di hospital yang mula beroperasi sejak Disember 2005 itu.

“Mana-mana lampu siling yang sudah lama atau gagal berfungsi, kita minta mereka tukarkan kepada lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) kerana kami percaya lampu jenis LED kurang berisiko untuk terbakar berbanding lampu jenis fluorescent,” katanya.

Dilaporkan kebakaran tersebut dipadamkan kakitangan hospital sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian pada 9.26 pagi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan kejadian tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *