KANGAR, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menafikan maklumat siasatan berhubung kes kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara, dibocorkan melalui sumber polis.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pengesahan itu diterima beliau daripada kepemimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ia bukan sumber polis. Saya dimaklumklan Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) dan Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Amar Singh Ishar Singh) maklumat itu datang daripada agensi lain.

“Agensi berkenaan yang menularkan…saya lihat juga ada kenyataan akhbar dibuat seorang ketua jabatan di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Arau, di sini, hari ini.

Mengulas maklumat siasatan, beliau berkata ia bukan berniat untuk disembunyikan, sebaliknya penyebaran maklumat awal yang keluar sebelum siasatan dibuat secara konklusif, berisiko mengganggu proses siasatan dan pendakwaan.

“Saya fikir perkara ini tak perlu berlaku kerana sebarang klu atau kenyataan dikeluarkan mana-mana ketua unit sebelum konklusif, boleh membawa pelbagai makna.

“Apa pun, saya hormati kewibawaan agensi penguatkuasaan yang ada, namun proses siasatan harus dihormati,” katanya.

Ahmad Zahid pada masa sama mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pantas menyelesaikan kes kebakaran pusat tahfiz itu, dengan tertangkapnya tujuh individu yang menjadi dalang dalam tempoh kurang 24 jam.

“Mereka (suspek) adalah anak muda dan dipengaruhi najis dadah. Mereka membalas dendam kerana hanya faktor ejekan, tetapi mungkin tak tahu di peringkat awal perbuatan itu mengundang malapetaka sehingga kehilangan nyawa 21 pelajar dan dua warden,” katanya.

Mengenai pendakwaan, beliau berkata, hasil siasatan dilakukan PDRM akan dikemukakan kepada Peguam Negara yang kemudian akan melihat dari aspek perundangan, pendakwaan dan undang-undang serta akta bersesuaian untuk pertuduhan mahkamah.

“Saya fikir pihak Peguam Negara akan menggunakan akta yang membabitkan soal jenayah biarpun ia dilakukan juvana.

“Apapun, perbuatan mereka (suspek) tak boleh diterima dari segi perundangan atau kemanusiaan.

“Jadi, selain Kanun Keseksaan, beberapa perundangan lain harus digunakan supaya dapat jadi pengajaraan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *