PUTRAJAYA, Kedegilan majikan untuk tampil membuat pendaftaran disifatkan sebagai punca proses permohonan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad) pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak mencapai matlamat seperti disasarkan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata hanya 23 peratus atau 161,056 PATI didaftarkan sehingga 10 malam ini, iaitu dua jam sebelum tempoh akhir pendaftaran tamat pada 12 tengah malam.

Beliau berkata ia melibatkan 28,375 majikan dengan sebanyak 145,571 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI.

“Adakah program ini gagal? Adakah itu sahaja jumlah PATI di luar sana? Kita anggap tidak berjaya sebab kedegilan majikan untuk tampil mendaftar.

“Kita telah memberikan masa secukupnya sejak 15 Feb lalu, malah hebahan melalui media juga dilakukan seacra berterusan bagi membolehkan majikan mengambil tindakan sewajarnya tetapi ia tidak digunakan seperti yang diharapkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi pendaftaran menjelang tempoh akhir proses itu di Ibupejabat Imigresen di sini, semalam.

Mustafar berkata jabatan itu juga mengadakan pertemuan dengan persatuan-persatuan majikan bagi memperincikan mengenai perkara itu agar mereka dapat mengingatkan pihak yang berdaftar di bawahnya supaya mendaftarkan pekerja di bawah seliaan masing-masing.

Walaupun hanya meletakkan syarat minimum iaitu proses pendaftaran E-Kad perlu diuruskan sendiri, tetapi ia tetap menjadi sesuatu yang terlalu sukar (buat mereka) kerana sifat suka menunggu sehingga saat akhir.

“Kenapa menjelang hari terakhir, begitu ramai majikan yang tampil untuk mendaftar pekerja masing-masing…pada kami, mungkin mereka beranggapan Jabatan Imigresen akan lanjutkan tempoh ditetapkan? katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran itu dan akan melaksanakan gerak gempur besar-besaran selepas tengah malam ini.

Sehubungan itu, Mustafar mengingatkan majikan dan PATI agar tidak menyalahkan Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri atas tindakan yang akan diambil ke atas mereka kelak akibat sikap ambil mudah terhadap peluang yang diberikan itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *