Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyangkal laporan dua blog yang mendakwa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terlibat dalam tuntutan saman Mais ke atas syarikat Redha Resources Sdn Bhd di mahkamah baru-baru ini.

Sehubungan itu Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa mendesak dua penulis blog berkenaan supaya membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Sultan Selangor kerana laporan tersebut mengandungi kenyataan berbaur fitnah selain memberi gambaran yang tidak benar terhadap baginda.

“Artikel yang dipaparkan blog ‘Another Brick in The Wall’ bertajuk ‘Selangor Royal Default’ yang disiarkan pada 6 Mac serta artikel blog ‘Rocky’s Bru’ bertajuk ‘While the Agong Makes Headlines’ yang disiarkan pada 7 Mac telah membangkitkan rasa marah dan benci terhadap institusi diraja dan pihak berkuasa agama Islam negeri.

“Kami juga mendapati, kandungan artikel-artikel itu telah menyentuh secara langsung fakta kes yang masih dalam prosiding mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Sehubungan itu, Mohamad Adzib turut mendesak penulis blog terbabit menarik balik laporan berkenaan serta tidak mengulangi kesalahan sama yang dilihat bertujuan meruntuhkan kepercayaan rakyat Selangor terhadap kredibiliti Sultan Selangor dan Mais.

“Kami menyeru penulis-penulis blog dan artikel berkenaan untuk menghentikan tohmahan dan menarik balik artikel-artikel itu dalam tempoh 24 jam dari tarikh kenyataan media Mais ini dikeluarkan.

Permohonan maaf juga hendaklah disiarkan dalam dua akhbar harian tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris berserta akujanji daripada penulis blog ini,” katanya.

Mohamad Adzib berkata, sekiranya penulis blog terbabit gagal mematuhi tuntutan Mais ekoran kenyataan fitnah yang disebarkan, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggunakan segala peruntukan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *