Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan telah sedar akan kepentingan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) apabila menyatakan hasrat mahu meneruskan bantuan itu sekiranya pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu ternyata berbeza dengan kenyataannya sebelum ini yang menggelarkan BR1M adalah ‘dedak’ dan rasuah daripada kerajaan.

“Dia (Dr Mahathir) pun cepat sedar. Saya anggap itu satu kematanganlah…dan dia boleh terima BR1M, sebagai sesuatu yang baik,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di Dewan Sri Tebrau, di sini, hari ini.

Shahrir berkata demikian ketika mengulas ucapan bekas perdana menteri itu pada majlis pelancaran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam, yang mahu menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan cukai lain tetapi meneruskan BR1M sekiranya pembangkang menang PRU14.

Di KOTA TINGGI, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan bekas presiden UMNO itu yang mahu mengekalkan BR1M sebagai mengarut.

Selain itu, cadangan untuk mengekalkan BR1M juga dilihat seolah-olah tidak mendapat sokongan pemimpin parti pembangkang yang lain, kata beliau.

“Mungkin dia dah lupa apa dia cakap pasal BR1M itu rasuah. Macam mana pula bila dia cakap BR1M tu rasuah, tiba-tiba dia cakap dia nak buat BR1M juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan menyampaikan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Taman Sinar Sedili, Kota Tinggi.

Di KUALA LUMPUR, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata Dr Mahathir dilihat sering menukar pendiriannya.

Menurutnya, BR1M ternyata memberi manfaat kepada rakyat sehingga Dr Mahathir sendiri mahu meneruskankannya berbeza dengan kenyataannya sebelum ini yang menyamakan BR1M dengan rasuah.

“Setiap pemimpin harus mempunyai pendirian yang utuh kerana ia merupakan simbol kepercayaan rakyat dan kekuatan sistem kerajaan yang ingin dibentuk,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Seri S. Vell Paari berkata Dr Mahathir dan penasihat beliau telah menerima hakikat bahawa BR1M bukan satu bentuk rasuah tetapi program yang berkesan dalam membantu rakyat berpendapatan rendah di negara ini.

Malah, lebih 63 buah negara di dunia menyediakan program bantuan dalam bentuk wang tunai kepada rakyat yang memerlukan dan kaedah bantuan ini terbukti dalam meringankan beban kewangan lebih tujuh juta rakyat Malaysia dalam kumpulan 40 peratus isi rumah berpendapatan terendah (B40).

“Jika Dr Mahathir turun padang dan bertemu dengan rakyat, beliau akan tahu bahawa rakyat negara ini menghargai usaha yang diambil oleh kerajaan untuk membantu mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *