Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh sebelum 5 petang ini di Istana Negara di sini. Media dinasihati oleh Istana Negara supaya bersiap sedia untuk membuat liputan upacara itu.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam sidang akhbar bersama para pemimpin dalam Pakatan Harapan berkata, terdapat keadaan mendesak bagi negara untuk menubuhkan sebuah kerajaan secepat mungkin oleh kerana tempoh kerajaan sementara telah pun berakhir malam tadi.

Seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang anggota parlimen yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

“Jadi, anggota dalam Pakatan Harapan, semua anggota parlimen yang menyertai Pakatan Harapan, telah pun menandatangani dan mengisytiharkan bahawa mereka menyokong calon yang dipilih oleh parti gabungan ini untuk menjadi perdana menteri. Anda telah pun mendengar nama calon berkenaan, iaitu Dr Mahathir Mohamad.”

“dan kami berharap sebelum jam 5 petang ini, akan berlangsung upacara mengangkat sumpah. Sebab tanpa perdana menteri, tidak akan ada kerajaan, tanpa kerajaan, tidak akan ada undang-undang dan perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini berhubung kelewatan upacara mengangkat sumpah itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *