Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara buat pertama kali hari ini yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyaksikan pembentangan empat kertas taklimat.

Selain Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat yang dihadiri menteri berkaitan dan pegawai tinggi kerajaan itu menumpukan kepada isu serta cabaran yang dihadapi selain kerjasama strategik di kalangan agensi penguatkuasa untuk memperkasakan tahap kawalan keselamatan di sempadan darat negara.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan kertas taklimat yang dibentangkan ialah mengenai Pemerkasaan Pengurusan Keselamatan Sempadan Negara dan Pengoperasian Kawalan Sempadan Darat Negara.

Dua lagi adalah berkaitan Penyertaan Jabatan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Dalam Membantu Agensi Penguatkuasa Melaksanakan Kawalan Sempadan di Sabah dan Sarawak serta Pengoperasian Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pintu-pintu Masuk Sempadan Negara.

“Semua keputusan dasar yang diputuskan oleh Kerajaan, khususnya dalam aspek keselamatan sempadan, perlu disusuli dengan tindakan proaktif lagi menyeluruh oleh agensi penguatkuasa dalam memastikan keberkesanan operasi kawalan sempadan negara untuk membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.

“Dalam hal ini, penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebagai satu agensi khusus yang menumpukan kepada aspek operasi pencegahan kegiatan penyeludupan atau sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang di sempadan darat Malaysia adalah langkah yang wajar dan bertepatan.

“Ini kerana lima agensi utama yang bergabung di bawah AKSEM iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mempunyai bidang kepakaran dan kekuatan yang berbeza,” katanya.

Pada masa sama, AKSEM juga akan melaksanakan kerjasama strategik dengan lain-lain agensi penguat kuasa, khususnya yang beroperasi di sempadan darat negara, dalam pelbagai aspek seperti perkongsian maklumat perisikan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi mengoptimumkan impak, strategi serta keberkesanan operasi.

Selain itu, selaras dengan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), RELA akan turut bekerjasama bagi membantu agensi penguatkuasa sedia ada untuk melaksanakan kawalan di sempadan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *