CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengadakan operasi mengaudit golongan profesional termasuk peguam, arkitek dan jurutera dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah, berkata golongan berkenaan yang mempunyai isu berkaitan percukaian dinasihat tampil segera ke mana-mana pejabat LHDN.

“Berdasarkan analisis risiko, maklumat pelbagai pihak termasuk pihak ketiga dan analisis Bank Negara Malaysia, ada dalam kalangan golongan itu tidak mengisytiharkan pendapatan mereka.

“Kita nasihatkan golongan ini datang ke LHDN dan membuat pendedahan sukarela,” katanya pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Merdeka 2017 di sini, hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada LHDN sengaja menyasarkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya dalam siasatan membabitkan percukaian, Sabin berkata, pihaknya tidak mengamalkan tindakan siasatan selektif atau bermotif politik.

“Tidak ada campur tangan politik. Sebarang siasatan atau tindakan audit terhadap mana-mana individu atau syarikat adalah berdasarkan analisis risiko teliti oleh LHDN,” katanya.

Beliau berkata, LHDN mengutip cukai berjumlah RM75.7 bilion setakat ini, meningkat 2.72 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *