KUALA LUMPUR, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memburu 3,838 pembayar cukai di seluruh negara yang mempunyai tunggakan keseluruhan bernilai RM326.193 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sabin Samitah, berkata usaha bersepadu menerusi Ops Kutip 2017 membabitkan 592 petugas itu akan dijalankan dua hari sehingga esok.

Katanya, program secara besar-besaran itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat mengenai tanggungjawab menjelaskan pembayaran cukai.

“Petugas Ops Kutip 2017 akan bergerak secara serentak sehingga esok dari 13 pusat pelepasan di seluruh negara,” katanya pada ucaptama perasmian Kunjungan Mesra Hasil Peringkat Nasional, di Kota Kinabalu yang dipancarkan secara langsung di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abd Hamid, berkata 1,402 daripada 3,838 pembayar cukai tertunggak itu adalah dalam kalangan syarikat yang beroperasi di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, LHDN menyasarkan 90 peratus atau RM293.6 juta daripada RM326.193 juta berupaya dikutip menjelang 31 Disember ini.

“Kita ingin menegaskan tiada bayaran tunai akan dikutip daripada pembayar cukai menerusi operasi ini bagi mengelak kes penipuan oleh mana-mana pihak yang menyamar menjadi pegawai LHDN.

“Setiap petugas akan memakai ‘vest’ dan menunjukkan pengenalan diri daripada LHDN sebelum menyerahkan notis tuntutan menjelaskan cukai tertunggak kepada individu berkaitan.

“Pembayaran menerusi Ops Kutip 2017 ini hanya boleh dibuat menerusi draf bank atau cek kepada pegawai yang dilantik LHDN,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *