Seorang lelaki ditahan polis selepas melakukan ugutan melalui Facebook terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata suspek berusia 40-an itu ditahan awal pagi semalam susulan laporan polis yang dibuat sendiri oleh mufti berkenaan, pagi kelmarin.

“Kita menerima laporan yang dibuat oleh pengadu (Mohd Asri) pada jam 11.20 pagi, Sabtu lalu di Balai Polis Kangar, yang mendakwa menerima ugutan melalui Facebook.

“Suspek yang berasal dari Kedah ditahan awal pagi semalam dan ditahan reman selama tiga hari sejak semalam hingga esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wari ketika diminta mengulas lanjut jenis ugutan, lokasi dan masa tangkapan suspek, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Jenis ugutan yang dilakukan tidak boleh didedahkan, malah lokasi di mana dan bila waktunya suspek ditangkap juga tidak dapat dedahkan buat masa ini kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *