Share on Facebook

KULIM, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerima sebanyak 91,206 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) dari seluruh negara sehingga 30 Nov lepas, kata Pengerusi SPNB Mesra Sdn Bhd Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 48,005 permohonan telah diluluskan dengan sejumlah 40,821 unit telah siap dibina.

“Ini menunjukkan permintaan terhadap RMR1M semakin meningkat. Bagi negeri Kedah, kami menerima sejumlah 9,279 permohonan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,347 permohonan telah diluluskan,” katanya selepas Program Jom Raikan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia Peringkat Kulim-Bandar Baharu di sini hari ini yang disempurnakan Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau juga berkata sebanyak 5,000 unit rumah akan dibina bagi generasi kedua Felda pada tahun hadapan dengan lokasi pembinaan akan ditentukan oleh pengurusan Felda.

“Bagi daerah ini (Kulim/Bandar Baharu), Felda memilih Felda Gunung Bongsu sebagai lokasi dengan rancangan membina 180 buah rumah. Setakat ini, pembinaan sebanyak 75 unit rumah sudah diluluskan,” katanya.

Abdul Aziz berkata permohonan untuk RMR1M di Kulim-Bandar Baharu masih kurang iaitu hanya 356 permohonan, dengan 211 daripadanya telah diluluskan dan 157 unit telah siap dibina.

“Paling utama, masih ramai yang takut untuk mencagarkan tanah mereka kepada SPNB bagi pembinaan rumah, jadi bagi mereka yang ada tanah terutama tanah pusaka, jangan risau kerana SPNB ada kaedah terbaik untuk melaksanakan dan menguruskannya,” katanya.

Seorang daripada penerima kunci rumah RMR1M hari ini, Abdul Hamid Abdul Rashid 31, berkata skim perumahan tersebut banyak membantunya untuk memiliki rumah sendiri selepas menyewa selama tiga tahun di Karangan dekat sini.

“Dengan harga RM45,000, ia cukup berbaloi dan saya menyukai reka bentuknya yang selesa yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Paling utama, ia dibina di atas tanah sendiri,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 44 pemohon menerima surat tawaran dan sijil kelayakan subsidi RMR1M dan seterusnya menandatangani dokumen perjanjian yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.86 juta dan penyerahan kunci rumah kepada empat penerima rumah RMR1M.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *