Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berharap lawatan negara Presiden Perancis Francois Hollande ke Malaysia dapat meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

Seri Paduka yakin Malaysia dan Perancis mampu meneroka lebih banyak peluang termasuk bidang ekonomi, pertahanan, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan udara.

“Beta ingin juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Republik Perancis kerana membuka ruang dan peluang kepada syarikat-syarikat negara beta dalam memperkasakan sinergi ekonomi di Perancis.

“Peluang dalam bidang ini sudah tentunya akan menambah baik pendapatan negara dan menjana peluang pekerjaan kepada rakyat kedua-dua negara,” titah Seri Paduka pada majlis santapan negara bagi meraikan Hollande dan delegasinya di Istana Negara di sini, malam tadi.

Majlis itu, yang berlangsung di Dewan Santapan Utama, merupakan sebahagian daripada aturcara Hollande yang dalam rangka lawatan negara dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri Kabinet serta para tetamu kenamaan.

Sultan Muhammad V turut berharap hubungan kerjasama dan persahabatan rapat yang terjalin sekian lama di antara Malaysia dan Perancis akan terus kekal.

“Walaupun lawatan ini singkat, namun Beta berharap ia membawa seribu satu makna kepada kedua-dua negara dan juga ia akan menjadi legasi kepada hubungan dua hala antara Malaysia dengan Republik Perancis.

“Kehadiran beliau menguatkan lagi hubungan yang sangat baik dan mesra yang sudah lama dinikmati rakyat kedua-dua negara. Dengan perkongsian sejarah dan warisan, ia dapat mengeratkan lagi hubungan dan persefahaman,” titah Seri Paduka.

Sementara itu, Hollande dalam ucapannya berkata beliau mahu melawat Kuala Lumpur pada tahun ini sempena meraikan 60 tahun hubungan diplomatik yang terjalin di antara kedua-dua negara.

“Perancis adalah satu daripada negara awal yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Persekutuan Tanah Melayu menjelang kemerdekaannya pada 1957 dan saya yakin sokongan Perancis untuk negara muda itu tidak pernah dilupakan,” kata beliau.

Hollande berkata Perancis dan Malaysia boleh menjalinkan kerjasama utuh dalam banyak bidang yang mempunyai asas dan prinsip kukuh yang dikongsi kedua-dua negara di persada antarabangsa.

Beliau berkata antaranya adalah komitmen kepada multilateralisme, menolak ekstremisme, keganasan, kesederhanaan, perubahan iklim selain keinginan untuk membantu menyelesaikan konflik dengan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Presiden Peranchis itu berharap kedua-dua negara dapat terus memperkukuhkan lagi perdagangan, kerjasama pertahanan, latihan bersama dan program penyelidikan serta hubungan budaya.

Beliau menarik perhatian bahawa kedua-dua negara menunjukkan kerjasama pertahanan yang boleh dijadikan contoh berdasarkan kepada kepercayaan bersama yang utuh dan keinginan mewujudkan perkongsian tulen di antara pengeluar, yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

“Kerjasama akademik dan penyelidikan kita juga meningkat dari tahun ke tahun dengan pada masa ini, terdapat lebih 900 penuntut Malaysia di Perancis,” kata beliau.

Bagi perkongsian perdagangan, Hollande berkata jumlah perdagangan dua hala meningkat dua kali ganda sejak 2010, dan setakat ini, syarikat-syarikat Perancis telah menubuhkan 28 anak syarikat di Malaysia yang mewujudkan 26,000 pekerjaan.

Sambil berkata peningkatan ketara dapat dilihat dalam pelaburan mereka, beliau berkata terdapat banyak ruang yang boleh diterokai kedua-dua negara.

Lawatan negara itu, yang bermula malam tadi, adalah sebahagian daripada lawatan pertama Hollande ke ASEAN. Sebelum ini, beliau mengadakan lawatan negara ke Singapura dan akan melawat Indonesia selepas mengakhiri lawatannya ke Malaysia.

Ini merupakan lawatan peringkat presiden yang kedua dari Paris ke Kuala Lumpur selepas lawatan Presiden Jacques Chirac pada Julai 2003.

Lawatan itu adalah tepat pada masanya kerana ia bersempena dengan ulang tahun ke-60 jalinan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Perancis.

Terdahulu, Hollande, yang diiringi para menteri, Anggota Parlimen, pegawai serta delegasi perniagaan Perancis, telah mengadakan pertemuan perniagaan dengan para usahawan sebelum menghadiri mesyuarat delegasi dengan Najib di Putrajaya.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian termasuk perjanjian berkaitan pertahanan dan perjanjian mengenai penubuhan platform bagi Landskap Pertanian Lestari di Asia Tenggara.

Hollande kemudian menyaksikan demonstrasi statik pesawat pengangkut A400M yang baru tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.

Beliau turut menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum menghadiri jamuan negara itu dan akan berlepas ke Jakarta lewat malam tadi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *