KAMPAR, Polis menumpaskan kumpulan Geng Wan Tod dianggotai lapan suspek termasuk tujuh remaja yang dipercayai mendalangi kegiatan pecah kedai telefon bimbit di sekitar kawasan Gopeng dekat sini, sejak Ogos lalu.

Tujuh remaja berusia 14 hingga 19 tahun termasuk seorang perempuan manakala seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis di rumah masing-masing di sekitar Kampar pada 5 dan 6 September lalu, hasil risikan dan maklumat orang awam serta kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata kumpulan yang ditubuhkan Ogos lalu itu dipercayai sudah melakukan dua kegiatan pecah kedai telefon bimbit di sekitar Gopeng membabitkan kerugian RM11,000.

Beliau berkata, kumpulan yang diketuai remaja berusia 17 tahun itu dipercayai turut melakukan tiga lagi cubaan memecah kedai telefon di sekitar kawasan sama.

“Mereka dipercayai memecah pintu kedai menggunakan pemotong besi dan mengambil telefon bimbit dan aksesori sebelum melarikan diri menaiki motosikal serta kereta.

“Kegiatan kumpulan ini ialah pada awal pagi kira-kira jam 2 hingga 3 pagi dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua lagi masih bersekolah.

“Polis merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenis dipercayai hasil kegiatan itu, aksesori telefon, pemotong besi, pakaian dan kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, semua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, penahanan itu membawa kepada kejayaan polis menyelesaikan dua kes pecah kedai telefon bimbit dan tiga cubaan pecah kedai.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *