Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan rasmi sulung ke Qatar dengan membawa pulang pelbagai berita positif khusus untuk kepentingan dan kemudahan rakyat Malaysia di negara itu.

Lawatan empat hari oleh Timbalan Perdana Menteri itu membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik selepas pelbagai persetujuan dicapai dengan Perdana Menteri, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani.

Kunjungan Ahmad Zahid ke negara itu dilihat membawa implikasi besar kepada rakyat dan syarikat Malaysia di negara itu apabila beberapa masalah berjaya diselesaikan menerusi pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin negara itu.

Malah, Sheikh Abdullah sendiri memberi komitmen dan secara peribadi membantu memenuhi setiap permintaan oleh kerajaan Malaysia, justeru, jelas mencerminkan keakraban hubungan antara Kuala Lumpur dan Doha.

Kemesraan kedua-dua pemimpin itu terserlah apabila Sheikh Abdullah meluangkan masa untuk memandu sendiri keretanya bagi menjemput Ahmad Zahid di hotel penginapan dan memandu sejauh 17km ke Souq Wakif, sebuah pasar rakyat terkenal di bandar raya ini, semata-mata memenuhi satu program santai di situ.

Pengalaman yang menyentuh hati itu turut dikongsi Ahmad Zahid dalam entri rasmi Facebook Timbalan Perdana Menteri termasuk foto mereka berdua dalam suasana ceria.

“Saya diambil sendiri oleh PM Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifah Al Thani di hotel penginapan dan bersama2 beliau ke program seterusnya,” itu kata-kata Ahmad Zahid dalam entrinya yang memperlihatkan foto beliau di sebelah Perdana Menteri Qatar yang sedang memandu.

Antara ‘hadiah’ segera yang diberikan kerajaan Qatar sempena kunjungan Timbalan Perdana Menteri ialah rakyat Malaysia dibenarkan menggunakan lesen memandu Malaysia untuk memandu di negara itu tanpa perlu mengikuti ujian dan menjalani latihan memandu tempatan.

Selain itu, pengecualian bayaran visa sehingga tiga bulan untuk rakyat Malaysia apabila berkunjung atau melancong ke Qatar.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di akhir lawatannya itu, Ahmad Zahid berkata beliau amat berpuas hati dengan hasil lawatan itu yang disifatkan sebagai amat positif.

Menurutnya, kerajaan Qatar menaruh kepercayaan tinggi terhadap keupayaan syarikat Malaysia mengendalikan projek pembangunan bernilai jutaan Riyal Qatar serta komitmen dan kemahiran syarikat Malaysia menyiapkan projek dengan lebih awal daripada jadual asal.

Antara syarikat Malaysia yang kini mempunyai reputasi tinggi di Qatar ialah WCT Engineering Bhd (WCT) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

WCT dan rakan kongsi terdiri sebuah syarikat tempatan diberikan kepercayaan melaksanakan beberapa projek pembinaan Bandaraya Lusail, sebuah bandar raya baharu di sini.

Ia membabitkan kos $1.2 bilion Riyal Qatar (RM1.46 bilion) bagi pembinaan stesen dan rangkaian sistem pengangkutan rel bawah tanah, stesen janakuasa dan teknologi maklumat antaranya sebagai persediaan menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022.

MAHB pula melalui anak syarikatnya, Malaysia Airports Consultancy Services Middle East LLC (MACS ME) mendapat lanjutan kontrak daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA) untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kemudahan operasi lapangan terbang itu dan bangunan tambahannya di sini.

Sempena lawatan itu, Ahmad Zahid dibawa melawat kedua-dua projek itu yang menjadi lambang kualiti dan kemampuan rakyat Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa.

Ahmad Zahid berkata susulan kejayaan yang diiktiraf pengurusan tertinggi HIA, Malaysia bakal diberikan peluang untuk mengambil bahagian dalam tender kerajaan Qatar yang akan dibuka tidak lama lagi bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan terminal tambahan lapangan terbang antarabangsa itu.

Katanya, pembinaan terminal tambahan itu perlu bagi menampung pertambahan bilangan penumpang daripada 29 juta kepada 38 juta penumpang tahun lepas serta keperluan untuk Piala Dunia FIFA 2020.

“Perkara ini telah saya bincangkan dengan Menteri Pengangkutan Qatar (Jassim Saif Ahmed Al Sulaiti) kerana beliau juga puas hati dengan perkhidmatan berprestasi tinggi yang diperlihatkan MACS.

“Saya sendiri telah mengemukakan surat undangan secara rasmi kepada menteri pengangkutan Qatar itu untuk melihat sendiri perkhidmatan yang diberikan oleh MACS di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia dan beberapa buah negara lain,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Jassim Saif telah menyatakan persetujuan untuk ke Malaysia pada Mei ini bagi melihat sendiri kecemerlangan MAHB dan anak syarikatnya.

Bagi meningkatkan hubungan diplomatik dua hala, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani juga telah memberi perkenan untuk melawat Malaysia pada Oktober ini dan susulan itu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pula akan membuat lawatan negara ke Qatar.

Pada masa ini terdapat 5,000 rakyat Malaysia yang menetap di Qatar dengan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan Qatar Airways, dalam sektor pendidikan serta industri petroleum.

Qatar kini rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah, selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dengan jumlah perdagangan sebanyak US$842.38 juta pada 2015.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *