KUALA LUMPUR, Lebih 700 produk dan perkhidmatan, hasil usahawan luar bandar disediakan pada Karnival Usahawan Desa (KUD 2017) yang akan berlangsung selama empat hari bermula 19 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Karnival yang bertemakan ‘Usahawan Desa Produk Global’ menjadi platform untuk perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).

Ia turut menyediakan pelbagai aktiviti serta peluang bukan sahaja kepada komuniti usahawan, tetapi pengguna untuk merasai pengalaman terbaik ditawarkan produk atau usahawan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata karnival dwitahunan itu bukan hanya menyediakan platform usahawan desa mempromosikan produk masing-masing malah diharap mampu membantu mereka mengem-bangkan pasaran ke luar negara menerusi sesi padanan perniagaan.

“Sehingga kini 80 syarikat mengesahkan penyertaan mereka untuk membantu usahawan terbabit menembusi pasaran global.

“Menerusi sesi padanan perniagaan ini, ia memberi ruang kepada usahawan desa mencari potensi dan peluang mengembangkan pasaran ke luar negara, terutama di (pasar raya) hypermarket,” katanya baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata, buat kali pertama KUD memperkenalkan Trade Day yang menjadi platform jaringan perniagaan di antara industri bersama hiper-market, pemasar dan pembeli bersama usahawan desa.

Katanya, menerusi penganjuran karnival itu diharapkan dapat membantu usahawan desa mengembangkan pasaran mereka sehingga ke peringkat global.

Karnival yang menyasarkan kehadiran sejuta pengunjung akan dirasmikan Perdana Menter,i Datuk Seri Najib Razak pada 20 Oktober ini.

KUD 2017 membabitkan 739 penyertaan, iaitu 698 adalah gerai usahawan, 30 gerai syarikat swasta agensi kerajaan dan 11 gerai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pelbagai aktiviti yang disediakan sempena karnival itu, termasuk jualan produk usahawan desa yang terbahagi kepada enam kluster iaitu makanan dan minuman, produk pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, produk teknologi maklumat dan teknologi maklumat kreatif serta perkhidmatan dan pelancongan.

Aktiviti lain yang diadakan, forum Siswapreneur, demonstrasi produk dan kraftangan serta demonstrasi masakan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *