BAGAN DATUK, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia mahu kuasa besar dunia memainkan peranan menghentikan serta-merta keganasan kerajaan Myanmar terhadap rakyatnya daripada etnik Rohingya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, permintaan itu akan disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Rumah Putih, pada Selasa ini.

“Kita mahu memberi kesedaran kepada mereka bahawa negara kuasa besar perlu melakukan sesuatu supaya tindakan tidak berperikemanusiaan ini dihentikan serta-merta,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan 80 Tahun Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ulum Al-Syar’iyyah (Al-Ulum) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di wilayah Rakhine adalah di luar sifat kemanusiaan.

Beliau turut menyelar tindakan beberapa pihak khususnya di Myanmar yang melabelkan masyarakat Rohingya sebagai pengganas.

Katanya, kerajaan Myanmar patut tahu membezakan antara pengganas dengan penduduk biasa, wanita dan kanak-kanak dalam kalangan etnik Rohingya serta tidak menafikan hak masyarakat itu sebagai warga negara.

“Mustahil kanak-kanak yang tidak berdosa dianggap sebagai pengganas, dibakar hidup-hidup, dicampak ke dalam sungai, dibunuh dan dikerat (tubuh mangsa),” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada Al-Ulum bagi membina dua blok bangunan baharu sekolah itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *