KUALA KRAI, Pembangunan yang giat dilaksanakan di jajahan Kuala Krai membuktikan kerajaan Persekutuan prihatin dengan penduduk di kawasan pedalaman yang masih kekurangan kemudahan asas.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Kuala Krai antara jajahan di Kelantan yang mendapat peruntukan terbesar di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) seperti pembinaan Hospital Kuala Krai yang baharu berharga RM300 juta.

“Istimewanya di jajahan Kuala Krai ini, kerajaan Persekutuan membiayai pembinaan Pejabat Majlis Daerah Kuala Krai berharga RM5.5 juta selain Pasar Besar Pekan Dabong, Pasar Manik Urai Baru dan Dataran Guchil yang kesemuanya melibatkan peruntukan RM600,000.

“Sepatutnya kesemua projek tersebut dibina oleh kerajaan negeri (PAS) ini,” kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pemberita selepas merasmikan serentak Pasar Besar Pekan Dabong, Pasar Manik Urai Baru dan Dataran Guchil, di Dabong di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan juga membelanjakan peruntukan yang besar untuk membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir pada 2014 di jajahan tersebut seperti landasan keretapi, sekolah, jalan raya, masjid dan membina baharu rumah penduduk yang rosak.

“Jutaan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana membina kemudahan asas untuk rakyat di jajahan ini termasuk di kawasan Dabong yang terletak di pedalaman negeri ini,” katanya.

Dalam lawatan seharinya ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong itu, Mustapa turut meninjau Rumah Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong yang telah siap pembinaannya untuk didiami oleh 32 keluarga guru, membabitkan peruntukan hampir RM10 juta.

Turut hadir Anggota DUN Dabong Datuk Ramzi Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *