Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menanggung kerugian lebih RM6 juta tahun lepas kerana menampung kos menggantikan kira-kira 1,300 unit tingkap koc komuternya yang pecah akibat vandalisme.

Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Siti Badariah Wan Hanafi berkata, kebanyakan tingkap pecah akibat dibaling batu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kebanyakan kejadian membaling batu dilakukan oleh kanak-kanak sewaktu komuter melalui trek berhampiran kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun perbuatan membaling batu tidak mendatangkan kecederaan kepada penumpang tetapi ini telah menyebabkan operasi perjalanan komuter kadang kala terganggu.

“Jika kerosakan tingkap itu teruk, kita terpaksa menahan koc terlibat bagi tujuan penukaran cermin demi keselamatan pengguna,” katanya.

Bercakap kepada Bernama, Siti Badariah berkata, penumpang pengangkutan awam itu bagaimanapun tidak perlu khuatir akan keselamatan diri kerana aspek keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan KTMB.

Katanya, tingkap yang dipasang pada setiap koc menepati piawaian antarabangsa dan diiktiraf oleh Kesatuan Keretapi Antabangsa (IUR), badan yang mengawal selia industri kereta api, yang dianggotai oleh KTMB.

“Cermin tingkap koc komuter bukan jenis yang digunakan pada kereta. Ia mempunyai kualiti tersendiri dan sesuai digunakan pada kebanyakan pengangkutan kereta api,” tambahnya.

Mengenai langkah mengatasi vandalisme, Siti Badariah berkata KTMB mengambil pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah itu termasuk mengadakan rondaan unit anjing di sepanjang laluan komuter.

Katanya, pihaknya juga melakukan operasi menangkap mereka yang terlibat dalam gejala negatif itu.

Dalam dua tahun lalu, KTMB membuat sembilan tangkapan terhadap pelaku vandalisme yang merosakkan aset syarikat itu, kata beliau.

Mereka ini telah diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pendakwaan.

“Pihak yang didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata beliau.

Siti Badariah berkata, KTMB juga boleh menuntut ganti rugi kepada pihak yang berkenaan melalui tuntutan sivil.

Dalam pada itu, “KTMB juga mendekati orang ramai menerusi pelbagai kempen berkaitan pencegahan jenayah dan anti-vandalisme.

“Ini diadakan di tempat-tempat awam serta sekolah, terutamanya di kawasan perumahan berhampiran trek laluan komuter,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *