CYBERJAYA, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti rekreasi hutan untuk dipatuhi semua institusi pengajian tinggi di negara ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Idris Jusoh berkata, SOP itu dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi bagi memastikan tiada lagi insiden maut berlaku, seperti kejadian dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut dihempap pokok ketika mengikuti latihan ikhtiar hidup di kawasan air terjun Lata Charok di Janda Baik, Bentong baru-baru ini.

“Kita akan pastikan SOP lebih ketat akan dilaksanakan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku lagi.

“Kita sedang olah cara pelaksanaannya di peringkat kementerian,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang ‘Soaring Upwards i-Video Competition 2017’ anjuran Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini hari ini.

Ditanya mengenai arahan KPT supaya semua IPT menghentikan aktiviti berkaitan rekreasi hutan serta merta susulan kejadian malang itu, Idris berkata arahan itu akan ditarik balik apabila SOP itu siap kelak.

Mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa penganjur aktiviti penuntut UiTM itu tidak mendapatkan permit, beliau perkata perkara itu juga akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada SOP berkenaan.

“Kementerian akan melihat semua aspek supaya semua program akan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi pada 13 Mei lepas, dua penuntut UiTM Noorain Mohtar, 23, dan Muhammad Kamil Md Sukri, 22, maut dihempap pokok yang tumbang ketika menjalani aktiviti perkhemahan di Lata Charok. Enam lagi penuntut cedera termasuk seorang parah.

Laporan menyatakan seramai 140 penuntut dan empat pensyarah terlibat dalam aktiviti itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *