Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung provokasi pada kain rentang dan papan iklan yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Beliau berkata pihaknya akan meminta pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengambil tindakan.

“Kain rentang dan papan iklan itu dilihat berbaur provokasi dan ia perlu diturunkan dengan kadar segera.

“Polis akan menyiasat individu yang buat provokasi-provokasi ini dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menaikkan kain rentang dan papan iklan itu jika gagal dipatuhi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad ke-81, di sini, Khamis.

Semalam tindakan menaikkan papan iklan bersifat provokasi dan perkauman di kawasan Pekan Sekinchan, Sungai Besar dilihat sebagai kempen membangkitkan sentimen kebencian untuk menarik pengundi.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut memberitahu bahawa siasatan masih dijalankan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik pergigian di Bangsar di sini, pada 1 Jun lepas.

Khalid berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh pakar dan akan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara bagi melengkapkan siasatan.

Syed Alman Zain, 44, merupakan suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, 37.

Allahyarham dilaporkan pergi ke klinik bersama seorang rakan pada kira-kira 6 petang Rabu lepas untuk mendapatkan rawatan gigi sebelum tidak sedarkan diri.

Syed Alman Zain kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan disahkan meninggal dunia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *