Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan merampas barang jualan murah tanpa notis bernilai keseluruhan RM30,982 sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun, berkata jumlah itu hasil operasi sepanjang Januari sehingga September lalu di pasar raya dan premis perniagaan seluruh Kelantan.

Katanya, rampasan itu membabitkan 15 kes dari seluruh negeri, kebanyakannya kerana kesalahan seperti jualan murah tanpa memberi notis kepada KPDNKK serta menjual barangan tidak mengikut piawaian.

“Kami menjalankan kerjasama dengan pasar raya di negeri ini sebagai tanda sokongan mengadakan jualan murah untuk manfaat masyarakat.

“Kerjasama ini juga langkah untuk memudahkan kami memastikan premis perniagaan atau pasar raya tidak menyalahgunakan promosi jualan murah dengan mengenakan harga yang boleh merugikan pembeli.

“Pemantauan juga akan dilakukan secara berkala bagi mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jualan Murah Akhir Tahun (YES) di Pasaraya Pantai Timor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penyelaras Pengguna Parlimen Rantau Panjang, Pauziah Che Wook.

Ab Ghani berkata, sepanjang jualan murah, pengguna akan mendapat potongan harga 10 hingga 70 peratus untuk pelbagai jenis barang termasuk makanan dan pakaian.

“Saya berharap promosi sebegini dapat meringankan beban kewangan pengguna untuk mendapatkan barang keperluan mereka.

“Hasil tinjauan sebelum ini, kami dapati harga barang di pasar raya lebih murah berbanding kedai biasa di kawasan kampung. Namun itu semua bergantung kepada masyarakat untuk memilih,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *