Share on Facebook

Korea Utara melancarkan Peluru Berpandu Balistik Rentas Benua (ICBM) dari kawasan utara Pyongyang pada Rabu dan tindakan terbaharu negara komunis itu menerima kecaman kuat komuniti antarabangsa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Menurut Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) peluru berpandu itu dilancarkan dari Pyongsong di wilayah selatan Pyongan, kira-kira pukul 3.17 pagi.

Penilaian awal JCS mendapati peluru berpandu itu dipercayai jenis Hwasong-14.

Jurucakap Pentagon, Kolonel Robert Manning berkata, peluru berpandu berkenaan mengembara kira-kira 1,000 kilometer sebelum jatuh di zon eksklusif Jepun.

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara itu.

Beliau berkata, sebaik Korea Utara menyelesaikan pembangunan ICBM, beliau memberi amaran, keadaan keselamatan akan menjadi semakin buruk dan berada pada tahap “tidak terkawal”.

“Kerajaan kami telah menekankan berulang kali akan menawarkan masa depan cerah jika (Korea Utara) mahu ke meja rundingan. Walaupun telah berusaha dan memujuk dengan ikhlas, mereka tetap melancarkan peluru berpandu balistik hari ini,” kata Moon ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat dilaporkan berkata, “Saya akan memberitahu anda bahawa kami akan uruskan masalah itu.”

Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar di New York dalam waktu terdekat berhubung tindakan terbaharu Korea Utara.

Pelancaran berkenaan adalah provokasi peluru berpandu ke-11 dilakukan Korea Utara, sejak presiden Korea Selatan menerajui pentadbiran negara pada Mei.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *