Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) hanya mengiktiraf sijil dikeluarkan seperti termaktub dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi kemasukan ke institusi pengajian di bawahnya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya tidak akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diperjuangkan Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

“Untuk semua (institut pengajian) bawah KKLW seperti Universiti Agro Sains Malaysia (UCAM), Kolej Universiti Polytech MARA (KUPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Majlis Amanah Rakyat (UNIMARA), kita ikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sahaja.

“Kecuali kerajaan ada membuat keputusan lain (untuk mengiktiraf UEC), setakat ini masih belum ada diluluskan dan dasar berkenaan tidak berubah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Khatan Perdana Parlimen Bera di FELDA Sebertak dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Mohd Zoolihsan Ahmad. Ismail Sabri mengulas isu UEC dibangkitkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) pada Persidangan Agung Tahunan Kelapan baru-baru ini dalam usaha menjaga hak dan objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dong Zong sejak beberapa tahun lalu sering membangkitkan isu berkenaan dan mendesak kerajaan supaya mengiktiraf UEC supaya ia setaraf dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata pengiktirafan terhadap sijil UEC hanya boleh diberikan sekiranya Dasar Pendidikan Kebangsaan difahami sepenuhnya oleh semua pihak termasuk Dong Zong.

“Sudah lama ia diperkenalkan tetapi mereka tidak boleh ikut, saya berpendapat sebelum buat permintaan mereka kena fahami (Dasar Pendidikan Kebangsaan)…selagi gagal fahami maka tidak perlu diiktiraf.

“Tidak perlu berubah-ubah dan dasar kita sudah memadai pada masa ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *