PASIR PUTEH, Kewujudan Kompleks UMNO Uthmaniyah di Kampung Pauh Lima di sini yang menawarkan penggunaan dewan secara percuma, menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi penduduk di kawasan Parlimen Pasir Puteh.

Kompleks itu mempunyai dua dewan tertutup dengan kapasiti 1,100 orang dan sebuah dewan terbuka yang boleh memuatkan 2,000 orang.

Tawaran penggunaan dewan secara percuma sejak 2014 itu merupakan inisiatif UMNO Bahagian Pasir Puteh sebagai antara program membantu rakyat untuk mendapatkan keselesaan.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman berkata sejak kemudahan itu dilancarkan, pelbagai pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) memanfaatkan dewan yang disediakan itu.

“Penggunaan dewan ini adalah terbuka kepada semua dan tanpa mengira fahaman politik,” dipetik sebagai berkata.

Antara program yang diadakan di dewan itu ialah seminar, bengkel, kelas al-Quran, kuliah agama, tuisyen, majlis perkahwinan dan acara sukan.

Zawawi, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, berkata pihaknya membelanjakan kira-kira RM10,000 sebulan bagi menguruskan kompleks itu termasuk penyediaan penyaman udara dan peralatan siar raya.

Beliau berkata inisiatif itu banyak membantu masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan untuk melibatkan diri dalam program menambah pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup.

Tinjauan di sekitar kawasan parlimen itu khususnya di kawasan DUN Semerak yang terletak di kawasan pinggir pantai mendapati wujud kekurangan kemudahan dewan untuk digunakan orang ramai menjalankan aktiviti berkumpulan, dan jika adapun ia disediakan pengusaha resort dengan sewa agak tinggi.

Pengerusi Kelab Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Pasir Puteh, Mariam Mahmood, 48, berkata sehingga kini pihaknya telah mengadakan lima kali perjumpaan di kompleks berkenaan yang disertai antara 1,500 dan 3,000 peserta.

Beliau berkata kebanyakan peserta AIM merupakan suri rumah dan ibu tunggal berpendapatan rendah yang berusaha menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kampung masing-masing.

Beliau berkata melalui kemudahan yang selesa ini, pihaknya dapat membimbing dan memberi motivasi kepada peserta AIM untuk meningkatkan perniagaan mereka dan hasilnya sudah ramai yang berjaya meraih pendapatan yang memuaskan.

Pada 30 Nov ini, pihaknya akan mengadakan satu lagi perjumpaan di kompleks itu yang dijangka disertai 2,000 peserta.

Sementara itu, Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA) Nik Hamadi Nik Abdullah berkata pihaknya banyak menggunakan dewan berkenaan untuk program pembangunan pertanian membabitkan petani di kawasan Pasir Puteh.

Beliau berkata antara program itu ialah bengkel bagi membincangkan bagaimana untuk para petani di kawasan berkenaan dapat menggunakan teknologi dan peralatan terkini bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya tanaman padi.

Seorang penganjur pertandingan Muay Thai, Siti Nor Adamy Mamat, 34, berkata beliau telah lima kali menggunakan kemudahan yang terdapat di kompleks berkenaan termasuk dewan terbuka bagi menganjurkan perlawanan sukan tomoi peringkat antarabangsa, tanpa dikenakan bayaran bagi penggunaan dewan.

“Kalau sekiranya menyewa dewan di tempat lain, lazimnya dikenakan bayaran sewaan sebanyak RM500 sehari itupun tidak termasuk bayaran bekalan elektrik dan air yang dicaj berasingan,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Zawawi dan UMNO Pasir Puteh.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *