Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad didenda RM2,900 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Rendah Syarie, Klang terhadap pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar, dekat sini, enam tahun lalu.

Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim membuat keputusan itu sebentar tadi dan turut memerintahkan Khalid menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut hari ini.

Khalid didapati bersalah mengajar agama Islam tanpa tauliah di surau Taman Seri Sementa antara jam 10 malam hingga 11.30 malam pada 16 Ogos 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Seramai empat saksi pendakwaan, seorang saksi pembelaan dan 12 eksibit dikemukakan sepanjang prosiding.

Pada 19 Disember lalu, mahkamah mensabitkan Khalid terhadap pertuduhan itu sebelum menangguhkan prosiding untuk keputusan pada hari ini.

Dengan keputusan tersebut, Khalid kemungkinan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen berdasarkan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan sekiranya beliau dikenakan hukuman penjara setahun atau denda melebihi RM2,000.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *