Pelumba Moto3 negara yang mencipta sejarah sukan permotoran Malaysia, Khairul Idham Pawi berhasrat menangguhkan lagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini bagi menumpukan kerjaya dalam dunia sukan permotoran.

Pelumba berusia 18 tahun pada tahun ini itu berkata penangguhan menduduki SPM buat kali kedua itu dilakukannya bagi memberikan fokus penuh dalam membina karier dunia permotoran buat masa ini.

“Saya tetap akan mengambil SPM itu nanti namun disebabkan jadual latihan dan perlumbaan yang padat, saya tangguhkan dulu hasrat tersebut buat seketika,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sebaik tiba di kampung halamannya di Simpang Empat Kampung Gajah di sini Rabu.

Anak jati Kampung Gajah itu yang bersekolah di Sekolah Menengah Dato Seri Maharaja Lela di sini sepatutnya mengambil SPM pada tahun lepas namun tidak dapat menduduki peperiksaan itu kerana tumpuannya terhadap sukan permotoran itu.

Terdahulu pada sebelah paginya di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khairul Idham telah disambut meriah oleh 100 peminatnya yang memegang poster dan dua kain rentang gergasi dengan ucapan tahniah kepada pelumba negara yang mendapat tempat pertama pada pusingan kedua perlumbaan motosikal Grand Prix Argentina, 3 April lepas.

Sebanyak dua buah bas rombongan yang terdiri daripada sanak-saudara dan rakan-rakan Khairul Idham serta penduduk kampung pergi ke KLIA untuk memberi sambutan wira kepada pelumba negara itu.

Khairul Idham atau lebih dikenali dengan panggilan KIP dan Keon berkata sebaik pulang ke kampung halaman, beliau menyatakan rasa tidak sabar mahu makan makanan kegemaran, tomyam masakan ibunya.

“Kalau saya balik, ibu mesti akan buat tomyam,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan terdekat sebaik pulang ke kampung halaman, beliau bercadang akan membuat barbeku bersama kawan-kawan rapat pada malam ini.

“Saya memang tidak lepas membuat barbeku di rumah setiap kali balik kampung selepas perlumbaan. Itulah cara saya berhibur dan menghargai kawan-kawan rapat,” katanya.

Khairul Idham berkata beliau akan memanfaatkan masa dan peluang beristirehat bersama keluarga sebaik-baiknya sebelum berlepas berseorangan ke Sepanyol pada 19 April ini bagi menjalani latihan bersama pasukannya Honda Team Asia serta meneruskan cabaran pusingan keempat di Litar Jerez pada 22 hingga 24 April.

“Saya akan ke pergi ke Sepanyol Selasa depan dan dijangka akan pulang awal puasa nanti kerana pasukan saya berpangkalan di sana. Selama ini paling lama saya tinggalkan kampung pun dalam dua minggu sahaja,” katanya yang meminati pelumba sensasi MotoGP Marc Marquez.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata dalam tempoh rehat ini, beliau akan bertemu peminat di Batu Kawan, Pulau Pinang pada perlumbaan Cub Prix Petronas, Ahad ini selain memberi sokongan kepada adik bongsunya, Khairul Anuar Pawi, 16 yang beraksi dalam kategori Wira.

Selepas meraih podium di Argentina, Khairul Idham menamatkan pusingan ketiga di Amerika Syarikat di kedudukan ke-20 selepas bermula dari petak ke-32 ekoran salah percaturan ketika saingan sesi kelayakan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *