Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal membatalkan notis rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan bahawa tuduhan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara bukan satu kesalahan berkaitan keselamatan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Khairuddin itu selepas membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan terhadap usul itu.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Kamardin Hashim, memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar usul Khairuddin kerana notis rayuan bermula dari Mahkamah Tinggi.

Panel tersebut juga membenarkan permohonan lisan oleh peguam Khairuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla untuk menangguhkan rayuan pendakwaan.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri dalam hujahannya mempersoalkan kesahihan Seksyen 50 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang membenarkan pihak pendakwaan merayu tanpa memohon kebenaran daripada mahkamah.

Dalam notis usul bagi membatalkan notis rayuan, Khairuddin menuntut perintah mahkamah bahawa seksyen tersebut adalah tidak berperlembagaan dan bersifat ultra virus atau bercanggah dengan prinsip keadilan asasi.

Timbalan Pendakwa, Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkata pokok persoalan usul tersebut adalah untuk mengisytiharkan seksyen tersebut adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah yang merupakan bukan sebahagian daripada rayuan itu.

Di luar mahkamah, Mohamed Haniff Khatri memberitahu pemberita bahawa oleh kerana notis rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi, maka beliau akan memfailkan usul sama di mahkamah tersebut.

Katanya Mahkamah Rayuan telah menetapkan 19 April untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Nov tahun lepas bahawa tuduhan terhadap Khairuddin dan peguam Matthias Chang adalah tidak tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah itu memerintahkan kes itu berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan dan membebaskan Khairuddin dan Chang masing-masing dengan ikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pada 12 Ok 2015, Khairuddin, 54, dan Chang, 66, didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos 2015, mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *