Umat Islam di negara ini diseru mengetepikan perbezaan terutamanya dari segi politik bagi membentuk budaya Quranic (berpandukan Al-Quran) dalam kalangan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata budaya Quranic dapat membentuk akal Quranic yang seterusnya mewujudkan sahsiah dan personaliti seperti yang tercatat dalam kitab suci itu.

“Kepimpinan kita, ulama kita harus mengajar dan mewujudkan budaya Quranic di kalangan ummah secara keseluruhannya.

“Dengan berpandukan Al-Quran, negara kita akan selamat dan insya-Allah masyarakat Quranic ini akan membawa kepada negara yang aman damai,” katanya di sini malam ini.

Beliau berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan kira-kira 5,000 hadirin.

Ahmad Zahid berkata umat Islam keseluruhannya terutamanya di negara ini harus memahami Al-Quran dan bukan sekadar menterjemahkannya.

Beliau berkata mereka harus mempelajari tafsir Al-Quran dan unsur-unsur berkaitan dengannya agar manusia dapat menghayati kitab suci itu sebagai panduan.

“Al-Quran adalah sebuah panduan kepada manusia sejagat yang di dalamnya terdapat maksud yang tersembunyi yang perlu difahami dan dihayati.

“Kita harus jadikan Al-Quran sebagai tapak untuk suatu visi, suatu pandangan ke hadapan.

“Kita harus letakkan peta-peta ummah berpandu Al-Quran bukan hanya untuk tempat tertentu sahaja, untuk kita berpijak kepada masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata hukum yang berasaskan Al-Quran tidak boleh dipertikaikan dan jika sesuatu hukum itu tidak dapat dirujuk daripada Al-Quran, rujukan seterusnya ialah Hadis.

“Jika ada di kalangan ummah mahu menolak Hadis apatah lagi Hadis yang mempunyai hubungkait secara langsung dengan Al-Quran golongan begini adalah tidak bersama dengan kita.

“Pegangan kita Ahli Sunnah Wal Jama’ah…kita tidak mahu umat Islam di negara kita dipetak-petakkan dengan perbezaan yang tidak lagi bersandar Al-Quran dan Hadis,” katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu menolak anasir-anasir yang merosak minda masuk ke negara ini dan memecahkan perpaduan umat Islam yang telah terjalin sejak sekian lama.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *