KOTA KINABALU, Kesetiaan terhadap pemimpin serta konsep perkongsian kuasa dalam gabungan pelbagai parti komponen menjadi asas penting mengukuhkan kedudukan kerajaan Sabah diterajui Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata rekod prestasi dan kemampuan BN untuk membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini jelas membuktikan bagaimana gabungan parti terbabit menghargai kepercayaan dan keyakinan rakyat.

“BN Sabah mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk memimpin dan meneruskan perjuangan parti demi memastikan kejayaan transformasi pembangunan negara dalam semua aspek.

“Selain itu, perpaduan dalam parti perlu terus diperkukuhkan kerana ia aspek penting untuk memastikan BN tetap kukuh dan stabil untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Teo Chee Kang pada majlis perasmian Konvensyen MIC Sabah Ke-19 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung MIC, Datuk Sakthivel Alagappan dan Pengerusi MIC Sabah, Datuk V Jothi.

Musa berkata, dalam konteks keluarga besar BN Sabah, walaupun ia menggabungkan pelbagai parti yang mempunyai latar belakang berbeza, BN tetap berkongsi objektif dan matlamat sama.

“Kepelbagaian pendekatan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada ahli parti dan rakyat bukan penghalang untuk kita saling bekerjasama membangun dan memajukan lagi masyarakat dan negeri pada keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata, Konvensyen MIC Sabah hari ini bertepatan pada masanya dalam usaha memperkasa dan memantapkan lagi perjuangan parti itu.

“Dengan tema ‘Merancakkan Transformasi, Menunaikkan Aspirasi’, ia selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian awam.

“Ia termasuk peranan semua parti politik dan pelaksanaan pelbagai dasar untuk kesejahteraan rakyat Sabah dan meningkatkan taraf hidup semua kaum,” katanya.

Sabah mempunyai lebih 12,000 masyarakat berketurunan India.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *