MH Online

Laman Suara Rakyat

Kes Rasuah Dalam Kerajaan Terus Ditangani

Usaha memerangi rasuah dalam kerajaan terus dipergiatkan, dengan 74.4 peratus kes rasuah telah diselesaikan dalam tempoh setahun kes didaftarkan di mahkamah, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan di dalam Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara (NTP).

Beliau berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan tugas dengan efisien untuk memastikan kes-kes berjalan lancar.

“Penubuhan 14 mahkamah khas rasuah telah membolehkan badan kehakiman Malaysia mendengar dan mengadili kes-kes dalam jangka masa lebih pendek,” katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan pada selasa.

Selain itu, lebih 96.6 peratus isu-isu yang diketengahkan dalam laporan 2014 siri 1-3 Ketua Audit Negara berjaya ditangani dan diselesaikan dalam tempoh setahun selepas dibentangkan di Parlimen.

“Ini merupakan pencapaian yang membanggakan dan menyerlahkan keberkesanan SPRM dalam menyiasat kes-kes tersebut selain komitmen NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Membanteras Rasuah terhadap tadbir urus yang bersih, ” kata beliau.

Secara keseluruhan, NKRA ini mencapai 79 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan bagi 2016.

Laporan itu seterusnya menarik perhatian bahawa pembaharuan tadbir urus pembiayaan politik merupakan perkara penting kepada NKRA Membanteras Rasuah sejak NKRA itu diperkenalkan pada 2009.

Low berkata pada Oktober 2016, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) membentangkan usul kepada Kabinet dalam menuntut ketelusan lebih tinggi daripada parti politik berhubung keperluan pelaporan dan pendedahan derma politik yang ketat.

Ia antara lain mencadangkan pengenalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA).

Cadangan PDEA ini berfungsi sebagai platform yang sesuai untuk mewujudkan sistem yang berkesan bagi pembiayaan politik meliputi bidang pentadbiran derma politik, pembelanjaan dan pendedahan pembiayaan politik, pembiayaan negeri bagi aktiviti politik dan hubungan antara politik dengan peniagaan.

Beliau berkata , Akta berkenaan juga akan meningkatkan dan menambah baik undang-undang sedia ada termasuk Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta Kesalahan Pilihan Raya, Akta Pertubuhan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Proses kontrak kerajaan juga dijangka diperbaharui untuk mengurangkan kemungkinan bantuan politik, katanya.