LAHAD DATU, Pembangunan yang disuntik di Sabah khususnya di Lahad Datu begitu dirasai di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti UMNO dengan berusaha membawa masuk kemudahan infrastruktur termasuk perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik.

Ketua Bahagian UMNO Silam, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata masyarakat perlu tahu kerajaan berusaha mengisi pembangunan di setiap pelosok di Sabah dan bukan seperti pembangkang yang hanya tahu menabur persepsi negatif terhadap usaha dilaksana kerajaan.

“Parti pembangkang akan membuat pelbagai persepsi termasuk menafikan segala sumbangan kerajaan BN sebagai pemerintah negara dan negeri.

“Kalau rakyat ini terpedaya sudah tentu kita (rakyat) berhadapan dengan kerugian kerana perkara yang didakwa itu adalah persepsi palsu dan tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Membara 2017 di Tambisan dan sumbangan kepada 30 asnaf termasuk ibu tunggal dan warga emas di Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini.

Mohd Yusof berkata sepanjang 23 tahun UMNO memerintah Sabah dan lima penggal rakyat beri mandat pada pilihan raya lalu, banyak perubahan pada negeri ini yang manfaatnya itu bukan untuk individu sahaja, malah lebih kepada soal perjuangan Bumiputera Melayu dan Islam di negeri ini.

“Bila UMNO ditubuhkan, pembangunan agenda bangsa seiring dengan agenda agama sebab dengan agama kita dapat membina anak bangsa menjadi sebuah bangsa yang boleh mewarisi sebuah negara yang aman damai,” katanya..

Sementara itu, Mohd Yusof berkata pengumuman parti Warisan mengenai 2,000 anggota UMNO cawangan Tungku menyertai parti itu adalah tidak benar dan sekadar polemik politik yang diwujudkan pembangkang.

“Keadaan sebenar tidak seperti yang didakwa, kita dapati data ditunjukkan Warisan itu adalah ahli LDP yang kecewa kerana parti LDP di bahagian Tungku telah digantung statusnya maka ramai ahlinya kecewa dan telah keluar serta menyertai Warisan.

“Anggota UMNO yang kita selidik tidak sampai pun 10 orang yang hadir dalam program Warisan itu, tapi pastinya bukan seperti didakwa parti pembangkang itu kerana UMNO Bahagian Silam setakat ini khususnya ketua cawangan tidak ada yang menyertai Warisan,” katanya..

Menurutnya, cerita kononnya anggota UMNO keluar parti merupakan perkara biasa apabila setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *