Share on Facebook

ALOR SETAR, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi membaik pulih 25,000 rumah nelayan di seluruh negara sejak tahun 2015.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata peruntukan itu disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan setiap rumah akan menelan kos maksimum sebanyak RM10,000.

“Peruntukkan itu disediakan kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup nelayan agar mereka dapat hidup dengan lebih selesa.

“Program baik pulih rumah nelayan ini perlu ditambah lagi pada masa hadapan, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) akan membantu untuk mengenal pasti nelayan yang layak menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Nelayan Kuala Kedah dan Yan bersamanya di Kompleks LKIM, Kuala Sala di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM350,000 bagi menaik taraf kompleks LKIM terbabit yang sering ditenggelami air setiap kali air pasang.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, pihaknya memberi jaminan jumlah kelapa bagi menyambut Thaipusam tidak lama lagi mencukupi berikutan kerajaan mengimport 100 juta biji kelapa setahun.

“Penggunaan kelapa bagi perayaan itu dianggarkan sebanyak 350,000 biji, kerajaan sentiasa memantau mengenai keperluan rakyat setiap kali tiba musim perayaan.

“Jika tidak mencukupi, kita akan import dari luar, perkara ini diputuskan di peringkat kementerian…Setiap tahun negara memerlukan 700 juta biji kelapa yang mana 600 juta biji kelapa adalah dari dalam negara dan hanya 100 juta diimport,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *