PETALING JAYA, Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Harapan dilihat cenderung membincangkan isu politik berbanding membela nasib rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata pakatan itu lebih banyak mencipta isu baharu bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sedia ada supaya mereka mudah melupakan isu-isu tersebut.

“Hari ini cara mereka jika tidak boleh selesaikan masalah, mereka (Pakatan Harapan) akan cipta masalah baharu. Contohnya jika mereka nak lupakan masalah mereka dengan PAS mereka cipta sendiri kononnya empat anggota daripada Parti Keadilan Rakyat nak lompat parti.

“Jadi semua orang akan bercerita hal ini…siapa yang mulakan cerita ini jika tidak sesama mereka. Jadi inilah cara mereka untuk mengalih sesuatu isu supaya rakyat lupa isu sedia ada yang mana akhirnya kerajaan Selangor lebih banyak berbincang mengenai politik daripada membela nasib rakyat,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kempen #YOUCANDOIT sempena Hari Belia Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata demikian ketika mengulas mengenai pentadbiran kerajaan negeri Selangor ekoran pergolakan dalaman kerana mempunyai pemimpin berlainan ideologi sehingga menjadikan kepimpinan kerajaan negeri terumbang-ambing serta timbul pelbagai masalah.

Noh menyifatkan sikap Pakatan Harapan yang lebih gemar mencipta isu-isu politik seperti ‘cakap tak serupa bikin’ sehingga membuatkan mereka tiada masa untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Antara masalah yang masih membelenggu kerajaan Selangor kini adalah masalah sampah yang masih tidak selesai, demam denggi masih tertinggi berbanding negeri lain serta pembangunan tanpa mengambil kira masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, Program #YOUCANDOIT anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang diadakan bersempena Hari Belia Negeri Selangor 2017 bertujuan menyediakan peluang meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah (B40) terutamanya golongan suri rumah, pelajar serta belia melalui platform digital.

Program itu juga bertujuan menggalakkan para belia menceburi ekonomi digital terutamanya dalam program e-Usahawan yang menginstitusikan keusahawanan digital melalui Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk memanfaatkan peluang-peluang ekonomi yang boleh didapati dalam talian.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *