PUTRAJAYA, Kerajaan Persekutuan memberi jaminan peruntukan kewangan yang akan diagihkan kepada kerajaan negeri lebih adil dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pendirian itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat pertama Majlis Kewangan Negara, hari ini.

“Beliau (Dr Mahathir) menyatakan kerajaan (Persekutuan) mesti adil dalam agihan peruntukan itu,” katanya selepas mesyuarat itu di Kementerian Kewangan, di sini.

Dr Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan menyifatkan sesetengah negeri yang kaya boleh menampung perbelanjaan di negeri masing-masing berbanding negeri yang miskin.

Beliau berkata, dalam hal itu, negeri yang miskin pula sepatutnya mendapat lebih peruntukan.

“Walaupun tidak bersama Kerajaan Persekutuan, tetapi kerajaan akan tetap menyalurkan peruntukan itu dengan mengambil kira keperluan rakyat tanpa mengira parti,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba kira-kira jam 9.40 pagi sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2018 kali pertama diadakan di Kementerian Kewangan.

Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Ketua Menteri, Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan perkara membabitkan pengurusan kewangan kerajaan negeri dan isu yang berkaitan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *