KUANTAN, Kerajaan bercadang untuk mewujudkan bandar perikanan di dua atau tiga buah jeti pendaratan ikan termasuk di jeti pendaratan ikan di sini menerusi Rancangan Melaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bandar perikanan mampu memberikan nilai tambah kepada jeti pendaratan ikan khusus dalam aspek pelancongan seperti di San Francisco, Amerika Syarikat.

Mengambil contoh jeti pendaratan ikan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, beliau berkata lokasinya sesuai untuk dibangunkan kerana ia berdekatan bandar dan merupakan jeti kelima paling tinggi dalam jumlah pendaratan ikan.

“Saya akan minta supaya LKIM mengemukakan konsep bandar perikanan supaya boleh dimasukkan dalam RMK12 dan mencari lokasi yang sesuai kerana ia tidak boleh terlalu jauh dari bandar supaya apabila pengunjung datang, mereka tahu ada tempat yang boleh mereka lawat.

“Mereka boleh menikmati makanan laut yang segar, ada tempat untuk membeli makanan ikan yang bagus dan ada pilihan untuk mendapatkan peralatan memancing atau yang berkaitan bot dan industri perikanan di bandar tersebut,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan di Kompleks LKIM di sini Isnin yang turut dihadiri Ketua Pengarah LKIM M Saedon Ab Majid, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery mengumumkan peruntukan RM1.73 juta untuk penambahbaikan infrastruktur perikanan di Kompleks LKIM, projek menaik taraf Pasar Nelayan Balok, pembinaan pasar nelayan baharu di Tanjung Agas, Pekan serta pembinaan tukun tiruan di perairan Pahang.

Ahmad Shabery seterusnya memaklumkan Pahang menyumbang sebanyak 120,417.58 tan metrik daripada 381,260 pendaratan ikan laut dalam Malaysia, dengan trend pendaratan ikan meningkat sebanyak 7.4 peratus pada tahun 2016 berbanding tahun sebelumnya.

“Saya berharap trend peningkatan ini berteruskan sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang 2020 dan kerajaan telah memperuntukkan RM300,000 untuk pembinaan tukun di perairan Pahang bagi tujuan itu yang akan memanfaatkan 1,300 nelayan,” katanya.

Ahmad Shabery menambah kerajaan juga sentiasa prihatin dan peka dengan permasalahan nelayan kerana menyedari mereka adalah orang penting di sebalik industri perikanan yang bernilai RM13 bilion setahun.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery turut menyampaikan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan LKIM kepada 740 penerima dari sekitar Kuantan, Bantuan Touch Point LKIM (300 penerima) dan Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan LKIM (67 penerima) yang keseluruhannya berjumlah RM2.752 juta.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *