BALING, Bank khas yang bakal diwujudkan sekiranya Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat menerajui pentadbiran negara ini akan memudahkan generasi muda memiliki kediaman sendiri tanpa sebarang masalah dari segi memperoleh pembiayaan perumahan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata ini kerana menerusi pelaksanaan bank khas itu, pembeli tidak akan dikenakan syarat ketat sehingga menyukarkan proses pembelian rumah mampu milik berbanding institusi kewangan sedia ada pada masa ini.

“Saya sendiri terima aduan (pembeli) sukar dapat pinjaman bank kerana syarat dan kemampuan bayar balik (pinjaman). (Jadi) dalam manifesto ini untuk memberikan peluang kepada generasi muda dapat pinjaman (perumahan).

“Satu bank khas diwujudkan ini akan memberikan kemudahan untuk (pembeli) mendapatkan pinjaman perumahan…saya yakin masalah dihadapi generasi muda akan dapat kita atasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Perumahan Rakyat (PPR) Baling di Kampung Charok Sikin di sini hari ini .

Turut hadir penyandang Parlimen Baling merangkap Ketua UMNO Bahagian Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sebuah bank khas itu antara yang terkandung dalam Manifesto BN bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ yang dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 April lepas.

Noh berkata komitmen BN untuk mewujudkan bank khas itu menunjukkan perdana menteri amat prihatin dan memahami keperluan golongan memerlukan bagi memiliki rumah mereka sendiri yang lebih selesa.

Dalam pada itu, beliau berkata kini terdapat 12 projek pembinaan rumah PPR dilaksanakan kerajaan di Kedah yang membabitkan 5,910 unit rumah PPR dengan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM902.5 juta.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 2,494 unit rumah itu telah pun siap dibina, 1,416 unit sedang dibina manakala 2,000 unit lagi masih dalam perancangan.

Pada majlis pelancaran itu, Noh turut membuat pengumuman kelulusan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menaik taraf Tasik Gua Reban di sini bagi menjadi sebuah Taman Herba serta RM1.5 juta untuk pelaksanaan projek kecil di daerah ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *