Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji dan memperhalusi Skim Perkhidmatan Perguruan sedia ada bagi memastikan kebajikan guru diberi perhatian serius, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara itu, beliau akan duduk bersama dengan beberapa tingkat jawatankuasa di peringkat kementerian yang boleh melihat secara holistik mengenai skim perkhidmatan tersebut.

“Kita ada macam-macam nak lihat, contoh kebanyakan guru kita dalam ‘time based’. Lepas itu keduanya kita nak tengok guru besar, bercakap juga mengenai elaun penolong kanan, pengetua, warden asrama, banyaklah nak tengok.

“Lepas itu kita akan tengok yang mana satu keutamaan, kita akan libatkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan lihat respons mereka juga dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Seminar Peningkatan Profesionalisme Guru-Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) anjuran Majlis Guru Bimbingan Dan Kaunseling Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena, di sini Selasa.

Ketika sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di Sabah semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu KPM memberi perhatian serius kepada skim perkhidmatan guru sedia ada bagi memastikan skim perkhidmatan profesion itu menjadi lebih baik.

Ahmad Zahid dalam ucapannya semalam juga meminta agar guru-guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian, bagi memastikan guru lebih fokus kepada tugas mendidik pelajar.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata peranan GBK adalah sangat penting dalam merealisasikan hala tuju pendidikan negara, selain berperanan sebagai ikon bagi membentuk peradaban manusia yang lebih baik.

Memberi contoh, Mahdzir berkata proses urbanisasi yang berlaku di satu-satu kawasan berlaku begitu cepat, menyebabkan wujudnya golongan masyarakat yang dianggap sebagai miskin bandar dan tinggal di kawasan setinggan.

“Kebanyakan mereka duduk di kawasan yang tidak menjadi tumpuan dan mereka akhirnya tertekan kerana hidup dalam suasana yang sangat berbeza berbanding berpuluh tahun yang lalu.

“Malah lebih membimbangkan masalah ini turut menyebabkan anak-anak yang tinggal di kawasan tersebut tidak mendapat pendidikan sempurna, selain kerap ponteng sekolah. Jadi di sinilah peranan GBK amat penting, perlu mencari mereka dan memastikan mereka datang ke sekolah dan sedar kepentingan pendidikan bagi ubah nasib mereka,” katanya.

Seramai 450 GBK dari seluruh negeri Kedah menghadiri seminar berkenaan yang bertujuan membincangkan isu-isu dan permasalahan berkaitan pelajar sekolah yang perlu ditangani.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *