Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kemelut FGV Tiada Kaitan Dengan Saya

Kemelut FGV Tiada Kaitan Dengan Saya

Bekas Pengerusi Felda Global Ventures (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menafikan terlibat dengan kemelut yang melanda dalam syarikat berkenaan.

Katanya, selama ini beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya untuk memberikan keterangan berhubung isu tersebut dan tindakan berkenaan adalah wajar.

“Saya tiada kes, saya hanya dipanggil untuk beri keterangan dan itu adalah biasa.

“Lima pegawai kanan yang akan dipanggil SPRM seperti dilapor akhbar hari ini juga saya tidak tahu. Saya hanya tahu daripada akhbar sahaja,” katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), semalam.

Mohd Isa yang kini memangku jawatan sebagai Pengerusi SPAD berkata, beliau sedia memberi kerjasama penuh sekiranya sekali lagi dipanggil untuk mengambil keterangan.

“Itu memang hak SPRM untuk memanggil sesiapapun untuk mengambil keterangan dan ia merupakan satu proses biasa dijalankan dan kita jangan ganggu pihak-pihak SPRM menjalankan tanggungjawab mereka.

“Dalam SPRM ini sesiapa dipanggil untuk diberikan keterangan kita kena pergilah dan pada saya bukanlah suatu perkara yang luar biasa,” katanya.

Leave a Reply

Top