Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kelantan Negeri Mundur

Kelantan Negeri Mundur

Hampir separuh daripada 1.2 rakyat Kelantan berhijrah untuk mencari pekerjaan berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS membangunkan negeri itu.

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, rakyat Kelantan harus membuat keputusan bijak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mampu melakukan perubahan di Kelantan terutama menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Rakyat boleh menilai sendiri, lebih 22 tahun PAS memerintah Kelantan tiada kemajuan dilakukan sehingga rakyat terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.

“Kedudukan PAS di Kelantan amat lemah sekarang ini berikutan perpecahan yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Dewan Orang Ramai Pos Brooke di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Yahya Mamat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Tengku Razaleigh, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, berkata bagi mencapai kemenangan itu pada PRU akan datang, UMNO perlu mengatur strategi yang lebih bijak.

“Insya-Allah dengan strategi dan kesungguhan, kita mampu menarik sokongan rakyat, sekali gus melakukan perubahan untuk rakyat yang berada di luar pulang untuk pulang bekerja di negeri sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh berkata perkara itu masih dalam pertimbangan.

“Saya sedang pertimbangkan perkara ini dan saya sudah 45 tahun jadi Ahli Parlimen Gua Musang membabitkan 11 penggal,” katanya.

Leave a Reply

Top