KUCHING, Umat Islam perlu menyeimbangkan keindahan pembangunan fizikal masjid dan surau dengan menyuburkan pengisian ilmu bagi membina imej islam yang lebih baik demi kepentingan hidup di dunia dan juga di akhirat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata apabila Islam diangkat menjadi agama persekutuan, umat Islam di negara ini mempunyai tanggungjawab meletakkan agenda pembangunan serta perpaduan ummah di barisan hadapan.

Beliau berkata umat Islam dalam negara perlu ditonjolkan sebagai pihak yang memiliki imej baik, maju serta berilmu dalam pelbagai bidang; dan bukannya kumpulan yang dikaitkan dengan kemiskinan, jenayah, keganasan atau imej buruk.

“Imej Islam itu harus dijenamakan oleh kemajuan ummah sendiri, jangan nak bergantung dengan pihak lain. Jangan ada segelintir umat yang mencalar imej Islam, lalu diburukkan oleh negara-negara barat dengan ciptaan pelbagai istilah seperti Al-Qaeda, IS, ISIL, Daesh dan sebagainya,” katanya semasa berucap merasmikan Masjid Darul Husni Warrahmah, Petra Jaya di sini pada Khamis.

Katanya daripada 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, apabila hanya segelintir yang terlibat dengan kegiatan yang merosakkan nama baik Islam, ia akan terus mencalarkan imej agama.

Ahmad Zahid berkata ketika ini terdapat 6,391 masjid dan 17,707 surau yang didaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk keperluan 19 juta umat Islam yang mewakili 61.3 peratus penduduk negara, dan angka ini merupakan manifestasi perkembangan islam yang baik dalam negara, sebagai agama persekutuan.

Beliau berkata kerajaan komited dalam membantu untuk membangunkan institusi masjid dalam negara, sama sekali berbeza dengan sesetengah negara di rantau ini, di mana pembangunan masjid bergantung sepenuhnya kepada peruntukan daripada ummah.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya memberi komitmen untuk menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada Masjid Darul Husni Warrahmah bagi membantu dalam pembinaan bangunan tambahan dan juga aktiviti-aktiviti dakwah yang dirancang.

Turut hadir dalam majlis perasmian petang ini ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Mohd Yusof yang juga anggota Parlimen Petra Jaya, dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *