Kedah berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala FA selepas mengikat Sabah 1-1 di Stadium Darulaman untuk menjadikan keputusan agregat 3-2.

Dalam perlawanan yang dihadiri lebih 30,000 penyokong skuad Hijau Kuning itu, Kedah berjaya menguasai permainan tetapi gagal melepasi pertahanan Sabah yang turut cemerlang.

Pada minit ketujuh Ahmad Fakri Saarani perolehi peluang untuk menjaringkan gol tetapi tendangan kencangnya terkena palang Sabah untuk menghampakan penonton yang memenuhi stadium.

Namun begitu, kesebelasan Kedah yang diperkuatkan oleh pemain muda tetap memburu gol penting untuk meletakkan pasukan mereka di depan.

 Akhirnya Kedah perolehi sepakan penalti pada minit ke-22 apabila pemain pertahanan Sabah, Igor Ccerina menggunakan tangan untuk menyelamatkan bola dari kaki penyerang tuan rumah, Farhan Roslan.

Pemain import Kedah dari Brazil, Carlos Eduardo atau Kahe yang mengambil sepakan penalti itu berjaya menjalankan tugas dengan baik apabila menjaringkan gol pertama dalam perlawanan itu.

Tidak mengaku kalah dengan gol tersebut, pasukan pelawat kembali mengatur serangan, namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan dan penjaga gol.

Aksi pemain Kedah pada babak kedua kelihatan mula perlahan dan peluang itu digunakan sebaiknya oleh Sabah untuk memburu gol.

Hasilnya, sepakan sudut pada minit ke 59 yang diambil oleh Dedi Kusnandar ditanduk Ummareng Back bagi menjaringkan gol penyamaan dan melenyapkan sorakan peminat tuan rumah.

Pada akhir permainan pertukaran Kahe dan Farhan untuk memberi peluang kepada Muhammad Syafiq Ahmad dan Sandro Da Da Silva berjaya menaikkan semangat dan meningkatkan tempo permainan.

Malangnya, ketumpulan penyudah menjadi penyebab kepada anak didik Tan Cheng Hoe untuk meraih kemenangan.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga perlawanan tamat dan Kedah berjaya ke separuh akhir dengan agregat 3-2.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *