Kecemerlangan luar biasa yang dicapai pelajar Orang Kelainan Upaya, Ahmad Faiz Ibrahim, 19 adalah satu lagi bukti mengenai kebolehan rakyat negara ini dalam menterjemahkan slogan Malaysia Boleh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Ahmad Faiz yang menghidap Celebral Palsy bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran sehingga muncul antara 19 pelajar terbaik Sijil Tinggi  Agama Malaysia (STAM) 2016 dengan keputusan Mumtaz (Cemerlang), malah beliau juga mampu menghafal 30 juzuk al Quran.

“Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Ahmad Faiz adalah seorang pelajar yang sangat genius. Dengan keadaan beliau yang sebegini, bukan calang-calang orang boleh berjaya hafaz 30 juzuk al Quran dan diterima masuk ke UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin).

“Ini adalah satu pengiktirafan yang begitu tinggi kepada semua rakyat Malaysia, sama seperti ditunjukkan oleh atlet paralimpik yang berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2016. Kita doakan kejayaan dan kesungguhan Ahmad Faiz ini akan menjadi sumber motivasi kepada orang lain khususnya pelajar di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena Minggu Sukan Seberang Takir – Cikgu Razif bersama Komuniti di Dataran Permata Seberang Takir di sini pada sabtu.

Pada majlis itu, Ahmad Razif turut menyerahkan sumbangan kerajaan negeri Terengganu kepada Ahmad Faiz iaitu sebuah komputer riba untuk memudahkan sesi pembelajarannya sepanjang berada di UniSZA.

Turut hadir menyaksikan majlis pemberian itu ialah Naib Canselor Unizsa Profesor Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif serta kedua ibu bapa Ahmad Faiz iaitu Ibrahim Yusof, 48, dan Zalina Mohd Kassim, 43.

Ahmad Razif berkata sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi melalui UniSZA telah memberi kebenaran khas untuk Ahmad Faiz mengikuti pengajian di rumah tanpa perlu hadir ke bilik kuliah seperti pelajar UniSZA yang lain melalui sistem pengajian secara atas talian.

“Melihat Ahmad Faiz saya teringat kepada Allahyarham Profesor Datuk Dr Ismail Salleh (senator OKU pertama) dan Thomas Alva Edison yang mencipta mentol. Semoga Ahmad Faiz terus cemerlang mengejar impiannya.

“Kerajaan negeri mendoakan agar cita-cita Ahmad Faiz untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah akan tercapai seterusnya memberi sumbangan kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata mereka sekeluarga berasa terharu dengan perhatian dan keprihatinan semua pihak termasuk Menteri Besar Terengganu kepada anaknya itu selama ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *