Terkesan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung yang meragut 23 nyawa awal pagi semalam, Aaron Aziz menerusi kelab peminatnya, Aaronators FC terpanggil untuk membantu menerusi #ProjekDermaKilatAaronatorsfc.

Pelakon kelahiran Singapura itu berkata, dia dan ahli kelab peminatnya begitu terkesan dengan tragedi yang berlaku kerana pernah dua kali mengundang pelajar pusat tahfiz itu untuk bersama-sama mereka dalam acara yang mereka anjur.

“Kali pertama, mereka diundang pada majlis doa selamat bersempena pembukaan kafe saya, Kidz & Creme. Mereka juga pernah bersama-sama kami ketika saya dan ahli kelab peminat menjayakan projek membantu mangsa banjir di Pahang.

“Tragedi yang berlaku ini cukup menyayat hati, membuatkan saya juga terpanggil untuk segera membantu apa yang termampu,” kata Aaron.

Bapa kepada tiga itu berkata, setakat ini mereka sudah mengumpul lebih RM1,000 untuk disalurkan kepada derma kilat itu selepas beberapa jam dilancarkan.

“Kami pada awalnya, bercadang untuk menyerahkan kutipan pada Isnin ini. Memandangkan tempoh itu terlalu singkat, kami berhasrat untuk memanjangkan lagi tempoh kutipan supaya lebih banyak kutipan dapat disumbangkan.

“Ini antara usaha dan sumbangan kecil kami, malah berharap lebih ramai pihak yang prihatin akan turut sama memainkan peranan sebagai anggota masyarakat ketika diperlukan. Butiran mengenai sumbangan boleh diperoleh menerusi Instagram saya, @aarondwiaziz,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aaron ketika ini, memilih untuk berehat daripada kegiatan seni selepas membintangi drama My Darling Inspektor Daniel dan hanya akan kembali ke lokasi penggambaran bulan depan.

“Insya Allah, saya akan membintangi sebuah lagi drama terbitan Global Station yang belum diberi judul,” katanya yang turut menanti filem kedua arahannya, Sayu Yang Syukur ditayangkan selepas Romeo Kota.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *