JOHOR BAHRU, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggubal akta berkaitan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawal penggunaan dan diperluaskan di semua tempat awam dan lokasi tumpuan, selain mewajibkan pengurusan premis memasang CCTV.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pada masa ini CCTV yang digunakan hanya merekodkan secara pasif dan tiada penggunaan selanjutnya, iaitu hanya menyimpan gambar tetapi ia tidak boleh diolah semula oleh perisian untuk digunakan dalam penyiasatan dan proses mahkamah.

Katanya, penggunaan CCTV berdefinisi tinggi ini yang dilengkapi dengan pengecaman wajah dan perisian menjejaki sasaran itu menjadi langkah berkesan membantu polis mengawal keadaan dan menjalankan penyiasatan.

“Penggunaan CCTV dimasukkan dalam akta keseluruhan iaitu akta peranti pengawasan tetapi nama akta itu belum dimuktamadkan.

“Ia berkenaan dengan satu akta untuk mengawal penggunaan CCTV dan memperluaskan penggunaannya tidak saja di tempat awam seperti stesen bas dan kereta api, sebaliknya juga di tempat tumpuan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Jejak Perwira #Malaysiaku sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2017, di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata, CCTV yang digunakan perlu mempunyai gambar format digital definisi tinggi (HD) dan perisian yang boleh mengenal pasti wajah seseorang untuk pemeriksaan dalam rekod polis atau sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sekali gus membolehkan polis menjejakinya dan meningkatkan keupayaan menahan penjenayah.

“Kita memerlukan akta CCTV supaya apa-apa imej yang dirakam oleh CCTV seterusnya orang itu boleh dijejaki dan digunakan sebagai bukti kukuh dalam mahkamah,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *