MELAKA, Presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas tetap mahu bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya tetap akan bertanding sama ada sebagai calon Barisan Nasional (BN) atau pun calon bebas bagi kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen myPPP Melaka Ke-17 di Rumah Media Melaka, Ayer Keroh di sini, pada Sabtu.

Konvensyen itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan dihadiri Naib Presiden myPPP Datuk Seri M. Gandhi serta Pengerusi myPPP negeri Datuk Chiw Tiang Chai.

Kayveas, yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan, berkata beliau telah meminta ‘restu’ daripada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands kira-kira dua tahun lepas untuk memastikan kemenangan BN.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bertegas bahawa parti itu akan bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Kayveas membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa kepimpinan negara ‘muflis’ dan ‘gagal’ mengurus serta mentadbir negara dalam pelbagai aspek termasuk aspek pembangunan, ekonomi dan kemudahan infrastruktur kepada rakyat.

“Jika mereka kata Malaysia negara yang gagal, maka mereka juga bertanggungjawab (atas kegagalan itu) kerana mereka merupakan pemimpin negara ini suatu masa dulu,” katanya.

Oleh itu, katanya semua pihak perlu bersatu padu untuk mewujudkan kestabilan negara.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *