BUKIT KAYU HITAM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM18.3 juta, yang cuba diseludup ke negara ini, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Datuk Zulkifli Yahya, berkata suspek pertama berusia 26 tahun yang memandu kereta Proton Iswara ditahan di lorong pemeriksaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), di sini, jam 9.15 pagi.

Katanya, pemeriksaan menemui ketulan dadah heroin dengan berat kasar 154 kilogram (kg), beberapa bungkusan syabu seberat 38 kg dan bungkusan ketamin seberat enam kg.

“Ia ditemui di dalam but kereta yang ditutup dengan lapisan papan lapis seperti kotak pembesar suara yang disyaki diubah suai.

“Susulan penahanan suspek membawa kepada penahanan rakannya, seorang lelaki berusia 36 tahun di Alor Setar yang dipercayai terbabit dengan kegiatan sama, ” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.

Zulkifli berkata, bekalan diperoleh dari Thailand untuk diseludup Malaysia tetapi siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara.

“Kedua-dua suspek yang positif dadah kini direman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sehingga 5 Jun ini dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *