Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan mengkaji semula langkah menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Negara (BITU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada sebuah jabatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata penubuhan jabatan itu tidak perlu kerana ia bukan sahaja membawa kepada pembaziran dana, malah mencetus pertindihan fungsi antara beberapa agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan seharusnya menumpukan kepada usaha penambahbaikan dalam memperkukuhkan agensi sedia ada dari sudut perundangan dan keanggotaan, bukannya menambah bilangan jabatan yang bertanggungjawab mengendalikan satu isu yang sama.

“Kita sudah ada SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Banyak dah agensi (yang berkaitan). Perkara ini perlu dilihat secara serius oleh kerajaan, bukan dengan menubuhkan satu jabatan baharu yang akan membabitkan penambahan anggota dan kos, sedangkan kerja yang akan dibuat lebih kurang sama…ia akan jadi pertindihan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Ikrar Bebas Rasuah Agensi Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman sempena Kembara Jelajah Antirasuah (KEJAR’17) di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani, di sini, pada selasa.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kabinet sebelum ini bersetuju menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara sebagai langkah menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) sedia ada.

Keputusan itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan pada Siri Dialog TN50: Melangkah ke Hadapan Meneruskan Agenda Integriti Negara, bersama Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI).

Dzulkifli berkata, kerajaan seharusnya melihat dari sudut kebajikan terutamanya dalam kalangan agensi penguat kuasa.

Justeru, beliau mencadangkan peruntukan yang digunakan bagi jabatan baharu itu dimanfaatkan bagi penambahan keanggotaan SPRM sendiri seperti yang dijanjikan kerajaan sebelum ini.

“Kita hanya ada 3,100 anggota di seluruh negara dan kerajaan sudah menjanjikan pada 2008 untuk meningkatkan keanggotaan SPRM sebanyak 5,000 orang.

“Disebabkan kekangan kewangan, kita hanya dapat merekrut 490 anggota tahun ini berbanding kira-kira 750 orang yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah dalam ucapannya berkata, lebih 2,000 pegawai kerajaan negeri dan kerajaan tempatan di Kedah sudah melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM.

Malah, katanya, pihaknya turut mewajibkan semua kira-kira 7,000 pegawai dan kakitangan kerajaan negeri menjadi sahabat Gerakan Revolusi Antirasuah (GERAH) SPRM.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *